Loading
Emas

Muzium emas bakal dibina

Ir Azinuddin Abd Rahim

 

BANDAR RAUB – Sebagai sebuah daerah yang terkenal dengan penemuan bijih emas bermula dari 1850-an, memang wajar muzium sejarah dibina supaya menjadi ingatan kepada generasi akan datang bahawa Raub popular dengan hasil galian itu.

Naib Ketua Umno Bahagian, Datuk Ir Azinuddin Abd Rahim berkata, muzium sejarah dan Taman Tema Emas Raub (Raub Gold Theme Park) akan dibina di atas tanah seluas lapan hektar bersebelahan tapak pemprosesan emas di Bukit Koman ketika ini.

Menurutnya, pembinaan muzium dan taman tema itu memakan belanja sehingga RM300 juta yang diusahakan syarikat swasta, Akay Holding Sdn Bhd.

“Sekiranya Kerajaan Negeri bersetuju, pembinaan taman tema dan muzium emas itu akan sama konsepnya dengan taman tema di Brisbane, Australia.

“Saya yakin ia akan menjadi satu lagi daya tarikan pelancongan ke daerah ini kerana penyediaannya penuh dengan sumber maklumat bermula dari sumber emas diperoleh,” katanya ketika membentangkan cadangan pembangunan Raub Gold Theme Park sebagai Pengarah Urusan Akay Holding Sdn Bhd.

Penerangan juga diberikan kepada pegawai daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen), Pegawai Pelancongan Negeri, Pegawai Daerah Raub dan beberapa agensi Kerajaan Negeri berkaitan.

Kenali sejarah pembangunan Raub

Azinuddin yang juga Pengarah Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd berkata, pengalamannya menyandang jawatan dalam syarikat perlombongan emas di Bukit Koman telah mencetuskan idea untuk menyumbang kepada pembangunan daerah ini menerusi sektor pelancongan dengan membina muzium sejarah dan taman tema itu.

Katanya, usaha memperkenalkan sejarah pembangunan Raub juga menjadi agenda dalam pelaksanaan tanggungjawab sosial syarikat diwakilinya.

“Sejarah kewujudan dan pembangunan bandar Raub adalah berpunca daripada penemuan emas sekitar 1750-an lagi apabila Panglima Tok Perak yang berasal dari Hulu Perak datang ke daerah ini untuk mencari dan mendulang emas serta bijih timah.

“Nama Raub berasal dari perkataan ‘meraub’ bermaksud mengaut emas dari tebing sungai, walaupun dengan hanya menggunakan tangan kosong sudah boleh mendapat emas dengan mudah,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan emas terbenam di bumi Raub ketika itu sangat banyak dan antara kawasan yang banyak mengandungi emas adalah di kaki bukit Rumah Rehat Raub.

Sejarah aktiviti perlombongan emas

Daerah Raub mula dikenali selepas Raja Impeh Raja Abdullah dan abangnya, Raja Ismail datang dari Selangor membuka lombong emas secara aktif di sekitar kawasan Raub dan Sempam.

Azinuddin berkata, pada 1986 pula, syarikat perlombongan diusahakan Bibby William dari Australia menerusi syarikat Raub Australian Gold Mining Pte Ltd mula melombong emas di Bukit Koman dan menjadi antara lombong emas terbesar di dunia.

Katanya, aktiviti perlombongan itu terhenti pada 1942 berikutan Perang Dunia Kedua dan percubaan membuka semula lombong emas itu pada 1965 dilakukan tetapi gagal.

“Operasi lombong emas Bukit Koman diaktifkan semula secara kecil-kecilan pada 1999 oleh Raub Australian Gold Mining (M) Sdn Bhd dan pada 2009, barulah aktiviti perlombongan pada skala besar dilaksanakan dengan menggunakan loji Carbon in Leach (CIL).

“Selain untuk menarik kehadiran pelancong asing dan tempatan, pembukaan taman dan muzium tersebut dapat memberi lebih banyak peluang pekerjaan dan sumber ekonomi seperti peniagaan kepada penduduk daerah Raub sendiri,” katanya.

Beliau berkata, salah satu aktiviti menarik yang terdapat di taman tema itu nanti ialah aktiviti mendulang emas oleh pengunjung dan emas yang diperoleh itu boleh dijual terus kepada kaunter yang disediakan.-SH